<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d7956455038593415339\x26blogName\x3dBB2008-atok.super.cute\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://bb2008-atoksupercute.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://bb2008-atoksupercute.blogspot.com/\x26vt\x3d8911583810324094774', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

Warisan kita
Meh sini, Atok nak bercerita.



Sunday, July 27, 2008


Persandingan bahagian 2

Malah, sikap bergotong-royong bukan sahaja perbezaan di antara persandingan dahulu dan sekarang.

Berkat yang diterima oleh para tetamu juga berbeza. Jika di kampung dahulu, para tetamu akan disuruh pergi ke sebuah meja sebaik sahaja mereka sampai ke tempat persandingan dan memberi duit kepada orang yang berada di meja itu. Lantas, tetamu itu akan diberi beberapa biji telur sejajar dengan duit yang diberi kepada ibu bapa pengantin.

Manakala, sekarang pula, pelbagai jenis berkat disediakan bagi tetamu oleh pihak pengantin. Cokelat, gula-gula, cawan, tuala - itulah jenis-jenis berkat yang sering diberi kepada tetamu pada zaman sekarang. Banyak wang harus dikeluarkan oleh pihak pengantin bagi memesan beratus-ratus berkat dari pelbagai syarikat seperti Bimla.

Oleh itu, Atok telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam acara persandingan pada zaman dahulu dan zaman sekarang. Mana yang lebih baik? Itu sememangnya tidaklah begitu penting kerana pada dasarnya, persandingan itu adalah permulaan bagi kebahagiaan suami isteri dan ianya haruslah kelihatan begitu menarik bagi si mempelai agar mereka dapat mengingati hari istimewa itu kerana itulah satu-satu kalinya mereka bergelar raja sehari.

| 12:26 AM |



Persandingan bahagian 1

Sepanjang 75 tahun Atok melihat dunia, sudah tidak terkira berapa banyak kali Atok telah pergi ke majlis persandingan. Pelbagai perubahan juga Atok telah perasan.

Jika dahulu, suasana di kampung sangat riuh-rendah tatkala ada persiapan untuk persandingan. Tidak kiralah sedara atau sahabat, hampir semua orang-orang kampung akan turun padang dan bantu di mana perlu. Bergotong-royong lah katakan. Memotong berekor-ekor lembu dan ayam, memasak nasi, membuat pelamin (yang dahulunya hanya menggunakan dua kerusi biasa), membuat bunga telur. Hampir kesemua tugasan-tugasan dibahagi sama rata. Girangnya hati melihat suasana gembira sebegitu rupa.

Namun, situasi sekarang jauh berbeza. Umpama langit dengan bumi. Kini, tiada lagi istilah ''bergotong-royong". Yang ada cuma "tiada wang, kami tak tolong". Ya, kini semuanya bersangkut-paut dengan wang. Jika tiada wang untuk membayar tukang masak, maka kebulurlah tetamu-tetamu yang datang. Jika tiada wang untuk menyewa kerusi meja, maka di lantailah tempatnya. Pendek kata, keriangan yang dirasa di hari persandingan seakan-akan pudar kerana tiadanya gotong-royong.

| 12:16 AM |



Joget bahagian 1

Joget lambak!
la la la la la la la la la~
la la la la la la la la la~
la la la la la la la la la la la, mari berjoget!

Hehe, amboi sempat pula Atok ni ya. Muda-muda begini pun masih sempat menyanyi dan berjoget-joget. Berjoget lambak pula tu!

Bukan apa, Atok teringat pula tentang zaman kegemilangan Atok di kampung apabila semua pemuda-pemudi kampung akan berkumpul dan berjoget bersama. Jika sekarang, joget hip hop dan ballet menjadi kegemaran para remaja, dahulu pula terkenal dengan joget lambak dan dondang sayang! Aduiii, bukan main semuanya berpakaian ala super star. Baju berkilau-kilauan dan ketat di pinggang.

Tapi jangan main-main ya! Walaupun seluar ketat, tidak semestinya goyangannya tidak mantap! Malah, Atok rasa kalah remaja-remaja sekarang jika dibangingkan dengan gelekan orang-orang dahulu.

Ahh, indahnya memori. Tersenyum-senyum sendiri Atok dibuatnya.

| 12:05 AM |

Friday, July 25, 2008


Makanan bahagian 2

Waktu Atok muda-muda dahulu, makanan yang Atok sering disuapkan adalah ubi kayu. Jika hendak dikatakan, ubi kayu adalah makanan utama yang dimakan oleh seluruh kampung Atok dahulu. Maklumlah, dahulu kita hidup tidaklah senang jadi walaupun kita hanya disuapkan dengan ubi kayu pun, kita sudah bersyukur kerana masih diberi alas perut.

Walaupun begitu, ubi kayu masih tetap menjadi makanan kegemaran Atok hingga sekarang. Jika ada kesempatan, Atok akan membeli ubi kayu di bawah rumah dan menyuruh Nenek rebuskan. Dimakan pula dengan sambal belacan, aduh meleleh air liur Atok sekarang. Hehehe.

Dahulu, tidak sah jika kita makan tanpa sambal belacan! Malah, jika sehari tidak makan sambal belacan dengan apa-apa yang dimakan, rasanya seperti janggal. Rasanya seperti mandi tanpa air, tidur tanpa melelapkan mata. Ianya mungkin disebabkan oleh kebiasaan orang-orang Melayu memakan sambal belacan setiap kali tiba masanya makan. Mungkin juga disebabkan betapa sedap dan pedasnya rasa sambal belacan yg dibuat sendiri.

Atok sebenarnya sangat gembira kerana sambal belacan masih merupakan sesuatu yang diminati oleh orang-orang muda sekarang walaupun ianya merupakan makanan orang lama. Atok sangat berharap agar orang-orang muda zaman sekarang tidak akan melupakan makanan tradisional yang diturunkan oleh nenek-moyang kita agar ia tidak ditenggelami oleh makanan-makanan segera yang kini sedang meluas di merata tempat.

| 11:37 PM |



Makanan bahagian 1

"Mama, Adek lapar lah! Pesan KFC yok!"

"Mama, Adek hendak makan Mcdonalds please?"


Wah, KFC dan Mcdonalds. Makanan ala barat yang dibawa masuk ke negara Singapura sejak sekian lamanya. Jika kita perhatikan, berapa banyakkah jumlah restoran makanan segera yang ada di dalam sebuah tempat membeli-belah dan berapa banyakkah jumlah tempat makan biasa yang menjual makanan Melayu seperti nasi lemak, mee rebus dan sebagainya?

Dan jika kita ajukan soalan kepada anak-anak muda sekarang mengenai pengetahuan mereka tentang makanan tradisional seperti ubi kayu, ondeh-ondeh rebus atau kuih denderam, adakah mereka tahu tentang kewujudan makanan-makanan tersebut?

Pernahkah mereka mendengar nama-nama makanan tersebut?

| 10:45 PM |

Thursday, July 24, 2008


Jodoh bahagian 2

Puteh Binte Omar.

Ya, itulah nama isteri Atok yang dijodohkan dengan Atok oleh pihak keluarga. Seperti yang Atok katakan, Atok dan Nenek tidak pernah berjumpa ataupun melihat wajah masing-masing sebelum dinikahkan. Oleh itu, usahlah mentertawakan Atok kerana Atok terpaku apabila melihat wajah Nenek buat kali pertama.

Aduh, comel sungguh! Jelas terpampang keayuan wajah Nenek yang nampak juga darah cinanya. Pada mulanya, Atok dan Nenek malu hendak bertentang mata tetapi jelingan manja tetap ada apabila orang lain tiada.

Walaupun Atok dan Nenek tidak pernah mengenali hati masing-masing, selepas berkahwinlah masanya kita bercinta-cintun. hehehe. Alhamdulillah, rumahtangga yang dibina oleh kerana dijodohkan oleh keluarga kekal abadi sehingga sekarang.

5 anak, 15 cucu, 1 cicit. Tak ke bahagia tu?

| 10:08 PM |



Jodoh bahagian 1

Sekali-sekala, Atok akan turun ke bawah rumah untuk mengambil angin sambil merehatkan mata melihat persekitaran.

Tetapi, yang hairannya, lain pula yang Atok lihat.

Sepasang kekasih sedang hangat dibuai asmara, tangan dipautkan bersama, jalan dengan langkah yang beriringan. Pendek kata, sedang hangat bercinta-cintun lah! Yang lebih menghairankan lagi, ada juga yang sedang berada di peringkat sekolah rendah! Wah, mudanya sudah 'mengenal' erti cinta!

Teringat pula Atok di saat Atok dipasangkan dengan Nenek. Aduh, malu pula hendak bercerita tetapi, untuk maklumat bersama, apa salahnya bukan? Ya, cucu-cucu tidak tersalah baca. Atok memang dipasangkan dengan Nenek.

Meh, Atok cerita sikit.

Isteri Atok sebenarnya dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina tetapi dibesarkan oleh sebuah keluarga Melayu. Tap tup tap tup, Atok dipasangkan pula dengan Nenek. Gementar juga rasanya hati Atok! Maklumlah, Atok tidak pernah lihat pun wajah Nenek! Takut-takut pula gigi jongang kah, mata kero kah, hidung senget kah. Hehehe, tidaklah, Atok bergurau sahaja. Pada Atok, rupa dan wajah tidak penting. Asalkan hati cantik dan niat murni sudahlah.

Hari yang dinanti-nantikan tiba juga akhirnya...

| 9:59 PM |



Permainan bahagian 2

Ramai yang sangka bahawa hidup kanak-kanak di kampung sangat membosankan kerana mereka tidak mempunyai banyak permainan untuk menghiburkan hati. Oh, tanggapan mereka sungguh terpesong kerana kita-kita yang hidup di kampunglah yang lebih seronok kerana kita boleh bermain dengan hampir apa-apa sahaja yang kelihatan.

Pokok kelapa yang tinggi boleh kita panjat.
Ayam berkeliaran boleh kita kejar.
Biji saga boleh kita campak.

Pokoknya, apa sahaja yang kita lihat di persekitaran boleh dibuat sebagai bahan penghibur. Yang paling penting sekali, ibu bapa kita tidak akan memarahi kita kerana semua yang kita gunakan adalah percuma dan mereka tidak perlulah mengeluarkan beratus-ratus dolar hanya untuk alat permainan untuk anak-anak mereka.

| 9:58 PM |



Permainan bahagian 1

Atok sedang duduk berehat di atas sofa yang sudah lama menabur jasa kepada keluarga Atok sambil menonton berita di RTM 1. Wah, nyamannya perasaan Atok. Apatah lagi, kipas berdiri betul-betul di sebelah Atok. Rasanya seperti di tepi pantai.

Tercari-cari pula kedua cucu lelaki Atok yang selalunya bising bukan kepalang.

"Eh Adek, cepat tumbuk monster tu Adek, cepat! Ah..ah! Tendang Adek, tendang!!", si abang bijak mengarah adiknya yang baru berumur 5 tahun itu. Kelihatan kedua-dua beradik itu sedang asyik bermain PSP kepunyaan abang mereka.

Teringat pula Atok pada waktu dahulu semasa Atok masih lagi digelarkan setahun jagung.

Selepas sekolah sahaja, Atok akan cepat-cepat melontarkan beg sekolah ke atas tilam, tukar baju dan terus keluar rumah semula untuk bertemu rakan-rakan lain. Semuanya dilakukan dengan sepantas kilat hanya untuk satu tujuan; bermain-main bersama mereka.

| 9:57 PM |

Sunday, July 6, 2008


Assalamualaikum anak-anak dan cucu-cucuku yang tersayang.

Di sinilah bermula sebuah nostalgia Melayu zaman dahulu yang wujud kembali di era terkini. Nantikan cerita-cerita suka dan duka yang Atok lalui dahulu.

| 3:51 PM |



Atok
Atok di sini bukan hendak bermadah.
Bukan juga untuk bermarah-marah.
Setakat mencari ruang meluahkan rasa.
Bercerita tentang cerita lama.

Credits
Designer: Jacquelyn
Background: photobucket.com
Attention! there's a preview error in this blogskin but it works perfectly well on blogger.com!